Hasil Carian Hadis Terjemahan Melayu
HASIL CARIAN BAGI PERKATAAN/FRASA solat jemaah BERJAYA MENCAPAI 320 HADIS DARI KOLEKSI SAHIH BUKHARI SAHIH MUSLIM SUNAN AT-TERMIZI

11  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0380.
Aswad r.a. bercerita: "Pada suatu kali kami berada dekat Aisyah r.a., lalu kami berbincangkan masalah menetapi solat berjemaah dan memuliakannya. Kata 'Aisyah, "Ketika Rasulullah saw. sedang solat keras menjelang akhir hayat beliau, waktu solat tiba dan orang pun telah azan; maka berkata beliau, "Suruhlah Abu Bakar supaya dia mengimami solat berjemaah dengan orang banyak." Dijawab orang, "Abu Bakar seorang penyedih hati. Kalaulah dia yang menggantikan anda, dia tidak akan sanggup solat menjadi imam bagi orang banyak." Rasulullah mengulangi perintahnya sampai tiga kali, tetapi orang itu mengulangi jawabnya pula hingga tiga kali. Akhirnya Rasulullah saw. bersabda: "Kamu semua (wanita) sahabat-sahabat Yusuf. Suruhlah Abu Bakar solat dengan orang banyak!" Abu Bakar datang, dia solat menjadi imam bagi orang banyak. Ketika Nabi merasa agak ringan penyakitnya, beliau datang ke masjid dengan dipapah oleh dua orang (Abbas dan Ali). Seolah-olah masih kelihatan olehku bagaimana Nabi mengheret kakinya kerana sakit. Dan Abu Bakar hendak undur ke belakang. Tetapi diisyaratkan oleh Nabi kepadanya supaya dia tetap di tempatnya. Kemudian beliau dipapah/didudukkan orang di dekat Abu Bakar."

12  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0034.
Dari Barra' bin Azib r.a., "Pertama kali Nabi saw. datang ke Madinah, beliau bertempat tinggal di rumah abang atau pakcik-pakcik beliau dari kaum Ansar. Ketika itu Nabi solat menghadap ke Baitul Maqdis (Jerusalem), lebih kurang 16 atau 17 bulan lamanya. Sesungguhnya Nabi lebih suka Baitullah (Ka'bah di Mekah) menjadi kiblatnya. Dan solat yang mula-mula dikerjakan Nabi menghadap ke Baitullah (Kaabah) ialah solat Asar, yang dilakukan beliau bersama-sama dengan orang banyak. Kemudian salah seorang yang ikut jemaah bersama Nabi ketika itu keluar, dan pergi melalui sebuah masjid, di mana jemaahnya sedang rukuk (menghadap ke Baitul Makdis)" Lantas orang itu berkata, "Demi Allah, baru saja saya solat bersama-sama Rasulullah menghadap ke (Baitullah di) Mekah. "Maka segera mereka merubah kiblat mereka menghadap ke Baitullah. Orang-orang Yahudi mulanya sangat bangga, ketika (Nabi dan pengikutnya) solat menghadap ke Baitul Maqdis. Begitu pula Ahli Kitab (Nasrani). Tetapi setelah kiblat umat Islam berubah ke Baitullah, mereka mencela perubahan itu. Selanjutnya Barra' menyebutkan dalam hadisnya ini, "Banyak orang telah meninggal di masa kiblat masih ke Baitul Makdis, dan yang terbunuh sebelum perubahan kiblat ke Baitullah. Kami tidak mengerti bagaimana (hukumnya) solat itu." Lalu turun ayat: "Allah tidak akan mensia-siakan iman kamu semua." (Surah Al Baqarah, 2 : 143)

13  
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0614.
Dari 'Abdur Rahman Ibnu Abi 'Amrah r.a., katanya: "Pada suatu ketika 'Usman bin 'Affan masuk ke masjid sesudah solat Maghrib, lalu dia duduk sendirian. Kerana itu aku duduk dekatnya. Katanya, "Mai, anak saudaraku! Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang solat Isyak berjemaah, nilainya sama dengan solat seperdua malam. Dan siapa yang solat Subuh berjemaah, nilainya sama dengan solat sepanjang malam."

14  
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0373.
Dari Ibnu Syihab La., katanya: "Anas bin Malik mengatakan kepada ku, bahawa Abu Bakar mengimami solat berjemaah pada hari-hari Rasulullah sakit akan meninggal. Pada hari Isnin, ketika jemaah sedang solat bersaf-saf, Rasulullah saw. menyingkapkan tabir kamarnya, sehingga beliau kelihatan oleh kami berdiri dengan muka pucat seperti kertas. Lalu beliau tersenyum dan tertawa." Kata Anas selanjutnya, "Tiba-tiba beliau mendatangi kami, dan kami yang sedang solat merasa gembira dengan kedatangan beliau itu. Abu Bakar yang menjadi imam ketika itu mundur sampai ke saf; kerana dia menyangka Rasulullah keluar hendak solat. Tetapi beliau memberi isyarat dengan tangannya, supaya mereka meneruskan solat mereka hingga selesai. Kemudian beliau masuk kembali ke kamar dan menurunkan tirainya."

15  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0645.
Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Kami solat Zohor (atau mungkin Asar) bersama-sama dengan Nabi saw. Setelah selesai solat, Dzulyadain bertanya kepada beliau, "Kurangkah solat ya, Rasulullah?" Beliau pun bertanya pula kepada jemaah, "Betulkah apa yang ditanyakannya itu?" Jawab Jemaah, "Benar!" Lalu Nabi saw. solat lagi dua rakaat, sesudah itu sujud (sahwi) dua kali."

16  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2371.
Dari Anas r.a. katanya: "Seorang lelaki datang kepada Nabi saw. lalu berkata: "Ya, Rasulullah! Aku telah melanggar hukum. Maka tegakkanlah hukum atas diri ku (hukumlah aku)!" Kata Anas, "Ketika itu telah masuk waktu solat, maka solatlah ia berjemaah bersama-sama dengan Rasulullah saw. Setelah selesai solat dia berkata lagi kepada beliau, "Ya, Rasulullah! Aku telah melanggar hukum, maka tegakkanlah hukum atas diri ku sesuai dengan Kitab Allah." Tanya Nabi saw., "Apakah engkau tadi solat berjemaah bersama-sama kami?" Jawabnya. "Ya!" Sabda Nabi saw., "Nescaya Allah mengampuni engkau."

17  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0372.
Berita dari Abu Hurairah r.a. mengatakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Ketika seseorang berjalan di suatu jalan; kemudian di menjumpainya sepotong duri di jalan itu, lalu dibuangnya, Allah berterima kasih kepadanya dan mengampuni dosanya. Sesudah itu beliau bersabda. pula: "Yang disebut mati syahid itu ada lima macam: 1. Orang mati kena tikam. 2. Orang mati kerana sakit perut (kolera?) 3. Orang mati tenggelam. 4. Orang mati ditimpa tanah longsor (runtuh). 5. Orang yang mati fi sabilillah (mati di medan perang kerana berjuang menegakkan Agama Allah). Kalaulah manusia tahu keutamaan azan dan saf pertama solat berjemaah, tetapi mereka tidak mungkin mendapatkannya kecuali hanya dengan jalan diundi, nescaya mereka akan mahu diundi untuk mendapatkannya. Kalaulah mereka tahu keutamaan solat Zohor (dilakukan tepat pada awal waktu), pastilah mereka akan berlumba-lumba melaksanakannya. Dan kalaulah mereka mengetahui keutamaan solat Isyak dan solat Subuh (dengan berjemaah), pastilah mereka akan memerlukan datang (ke masjid), sekalipun mereka akan merangkak."

18  
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0623.
Dari Abu Musa r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : "Orang yang paling besar mendapat pahala solat, ialah orang yang paling jauh berjalan ke tempatnya solat berjemaah. Dan orang yang menunggu-nunggu waktu solat berjemaah pahalanya lebih besar daripada orang yang solat sendirian, sesudah itu dia tidur."

19  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1873.
Dari Huzaifah bin Yaman r.a. katanya: Orang banyak biasanya menanyakan kepada Rasulullah saw. tentang kebaikan, tetapi saya menanyakan kepada beliau tentang keburukan (bahaya), kerana takut akan ditimpanya. Saya bertanya: "Ya Rasulullah! Sesungguhnya kami dahulu dalam masa jahiliyah dan keburukan, lalu didatangkan Allah kepada kami kebaikan. Adakah sesudah kebaikan ini akan terjadi keburukan?" Jawab Nabi: "Ya!" Saya bertanya: " Adakah sesudah keburukan itu ada kebaikan?" Jawab Nabi: "Ya, tetapi ada yang merosaknya." Saya bertanya: "Apakah perosak itu?" Jawab Nabi: "Sekumpulan orang yang memimpin bukan menurut jalan yang benar. Sebahagian tindakan mereka ada yang engkau pandang baik dan ada yang tidak." Saya bertanya: "Apakah sesudah kebaikan itu terjadi lagi keburukan?" Jawab Nabi: "Ya! Orang-orang yang memanggil dipintu neraka. Siapa yang memperkenankan panggilannya, mereka dilemparkannya ke dalam neraka." Saya bertanya: "Ya Rasulullah! Terangkanlah kepada kami keadaan mereka!" Jawab Nabi: "Kulit mereka sama dengan kulit kita dan mereka berbicara dengan bahasa kita." Saya bertanya: "Apakah yang engkau perintahkan kepada saya, kalau seandainya saya mendapati hal yang demikian?" Jawab Nabi: "Hendaklah engkau tetap dalam jemaah (persatuan) kaum Muslimin dan mengikuti Imam (pemimpin) mereka." Saya bertanya: "Bagaimana kalau mereka tidak mempunyai jemaah (persatuan) dan tidak mempunyai Imam (pemimpin"?" Jawab Nabi: "Jauhilah semua kumpulan biarpun kerana itu engkau sampai menggigit (mengunyah) urat-urat kayu, sehingga engkau meninggal dunia dalam keadaan serupa itu."

20  
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0612.
Dari 'Abdullah r.a., katanya: "Menurut pengamatan kami, tidak ada orang yang tertinggal solat berjemaah, kecuali orang munafik yang jelas nifaknya, atau orang sakit yang apabila pergi solat harus dipapah oleh dua orang ke tempat solat. Sesungguhnya Rasulullah saw. telah mengajarkan ajaran-ajaran agama (sunanal huda). Di antara ajaran agama itu ialah solat berjemaah ke masjid, bila mendengar azan."